Ledakan maklumat
Semasa zaman koronavirus ni aku dan berjuta lagi orang lain terpaksa duduk di rumah oleh kerana bimbang dijangkiti wabat virus ini dan nak aku katakan bahawa kebanyakan orang termasuk aku menjadi sangat tertekan duduk di rumah ni. Selama hampir setahun aku duduk di rumah je hari-hari.
Aku pun sebenarnya tak tahu apa yang berlaku dekat mental aku ni tapi satu perkara yang aku pasti ialah ledakan maklumat di sosial media seperti Facebook, Twitter dan Instagram malah banyak lagi aplikasi mahupun laman sesawang membuat aku menjadi "overloaded" dengan maklumat.
Aku dapat rasakan yang emosi aku menjadi semakin tak terkawal, asyik nak marah orang je kerjanya, asyik nak bergaduh je dengan ahli keluarga aku. Aku takut sebenarnya dengan perubahan aku ni, aku sedar tentang perubahan aku ni akibat duduk terperap dekat rumah lama sangat tapi aku pun tak tahu lah nak ubahnya macam mana.
Manusia sebenarnya tak biasa menerima maklumat yang banyak sekaligus, otak kita tak dicipta untuk menampung banyak maklumat dalam sesuatu masa, dulu nenek moyang kita mana ada surat khabar ke ataupun media sosial untuk mereka hadam maklumat ini semua. Kita ditayangkan dan di bom dengan semua maklumat ni sampai kita tak tahu nak buat apa dengan maklumat ini.
Dalam dunia atau hidup kita ni, bukan semua perkara kita perlu ambil tahu, bukanlah aku mengajak untuk bersifat pentingkan diri sendiri tapi, there's only so much battle that you can participate.Akibatnya, hari kita yang sepatutnya gembira, kita rasa marah sebab terbaca berita sensasi yang membuat kita rasa panas hati.
Aku lebih dari orang lain tahu pasal masalah ini dan sepanjang aku belajar aku berjaya mengelak daripada menelan terlalu banyak maklumat. Tapi lain jadinya bila aku di rumah, aku tak tahu nak buat apa dan aku menyelosori laman web dan media sosial, akibatnya emosi aku terganggu.
Sebenarnya manusia ni makin diberi banyak pilihan makin kita rasa tak gembira. Kita hidup di zaman terlalu banyak pilihan dan alternatif sehingga masa kita banyak habis pada memilih pilihan yang ada berbanding untuk menikmati pilihan kita tanpa rasa menyesal. Mungkin orang cakap aku ni anti moden, kalau erti kemodenan ialah anuti dan terima sahaja perubahan modenisasi yang ada, maka cakaplah aku ni kolot dan jumud pun aku tak kisah. Andai kata hidup jumud dan kolot aku ni mampu buat hidup aku dan orang sekeliling aku bahagia, biarkan saja aku dengan kekolotan ku.
Aku dapat rasakan yang sisi negatif teknologi hamburan maklumat ini ialah ia membuat manusia semakin bodoh. Kemungkinan besar aku salah kerana aku tiada hasil kajian dan bukti imperial untuk membuktikan pendapat aku ini kerana ini hanyalah pemerhatian aku. Mengapa aku katakan begitu? Kerana bagi aku, semakin banyak manusia menerima maklumat, semakin kurang mereka berfikir. Sekali lagi, mungkin aku salah.
Berfikir ialah sesuatu yang unik yang hanya ada pada manusia, berfikir memerlukan kita untuk mempunyai masa yang tersendiri. Perumpamaannya macam ini lah, kalau nak buat air milo kita kena la isi air dulu. Pili/suis air tu kena tutup bila air dah cukup, kalau tak tutup nanti melimpah airnya. Bila air dah cukup baru boleh masukkan milo dan susu lepastu kacau bagi sebati. Pili air tu ialah laman web sesawang, aplikasi media sosial yang membekalkan kita maklumat, terlalu banyak boleh buatkan kita "breakdown" dengan maklumat yang melimpah, oleh itu bila sampai masanya, kita kena tutup mende-mende semua tu barulah kita ada otak yang lapang untuk berfikir.
Ada masa aku termenung seorang diri, macam-macam perkara yang ligat di kepala aku. Apa yang aku tulis ni pun semua masa aku termenung petang tadi tengok pemandangan depan rumah. Aku sekadar menterjemahkan balik apa yang aku fikir.
Kadang-kadang aku malu dengan generasi-generasi yang terdahulu yang boleh fikirkan teori dan formula yang hebat dan mengegarkan dunia tanpa teknologi yang mereka ada seperti sekarang ini.
Kekadang timbul juga soalan-soalan dekat fikiran aku ini. Apa yang aku tengah buat dengan hidup aku ni, kekadang aku rasa sedih dengan diri aku ini, aku tak tahu apa yang aku pandai, hebat dan boleh beri sumbangan dekat mak ayah aku, aku ni hanya menambah beban sahaja dekat mereka ni. Bila Covid19 ni nak tamat, bila aku boleh balik belajar macam biasa...
Comments
Post a Comment